Friday, November 29, 2013

Tokoh Falsafah Barat : Aristotle

TOKOH FALSAFAH BARAT ARISTOTLES~ 



1.1              PENGENALAN

Aristotles membawa maksud tujuan atau niat yang baik. Beliau lahir di Stagira, Chalcidie Yunani Utara pada tahun 384 s.M, lebih kurang 55 km (34 mi) Timur Thessaloniki, dan meninggal di Kalkis tahun 322 s.M pada usia 63 tahun. Bapanya Nicomachus merupakan seorang doctor kepada Raja Amyntas di Macedon.
 Aristotles merupakan ahli falsafah Yunani  dan seorang yang pakar dalam pelbagai bidang. Beliau ialah salah seorang daripada tiga ahli falsafah silam yang teragung dan seorang pemikir yang terbesar di zaman purbakala. Namanya mula menjadi mahsyur di sekitar Lautan Tengah dalam usia 41 tahun, ia diundang ke Macadonia untuk mengajar Alexander The Great – Iskandar Agung seorang anak yang berusia 13 tahun. Maka ia tinggal di istana Macadonia selama 8 tahun dan kembali ke Athene pada tahun 335 s.M.

2.1       RIWAYAT HIDUP ARISTOTLES

Semenjak kecil lagi beliau mendapat asuhan daripada bapanya, iaitu tentang teknik-teknik membedah . Oleh sebab itu perhatiannya banyak tertumpu kepada ilmu-ilmu alam, terutamanya ilmu Biologi. Sehingga beliau berumur 18 tahun. Setelah bapanya meninggal dunia, ia pergi ke Athene dan belajar daripada Plato di Akedemika. Aristotle merupakan anak murid Plato yang paling pandai di Athene. Mula belajar dari usia 18 tahun sehinggalah berusia 37 atau 38 tahun. Lebih kurang dua puluh tahun lamanya Aristotles menjadi anak murid Plato, ia seorang yang rajin membaca dan banyak mengumpul buku-buku. Sehingga beliau mampu menyusun suatu Bibliotik di rumahnya, itulah Bibliotik pertama yang berada di Athene. Plato memberi penghargaan yang besar  terhadap Aristotle  muridnya itu dan rumahnya  diberi nama “ rumah pembaca ”.
 Selain belajar filosofi daripada Plato, Aristotles memperluaskan pengetahuannya dalam pelbagai bidang di luar Akedemika. Contohnya pelajaran matematik yang diperolehi daripada Akedemika diperdalamkan lagi pengetahuannya pada guru-guru astronomi yang terkenal seperti Eudoxos dan Kalippos. Selain daripada itu, ada cerita yang mengatakan, bahawa ahli-ahli pidato yang tersohor pada waktu itu seperti Isokrates dan Demosthenes besar pengaruhnya terhadap Aristotles. Demosthenes sama umur dengan Aristotles, lahir dan meninggal pada tahun yang sama. Setelah menuntut ilmu secara mendalam selama ini Aristotles mempunyai pengetahuan yang menyeluruh. Kecerdasannya yang luar biasa itu memudahkan ia menguasai segala bentuk ilmu yang terdapat pada zamannya.
Seperti mana yang di ketahui setelah kematian Plato, Aristotles meninggalkan Athene bersama kawannya yang belajar di Akedemika itu juga, iaitu Xenokrates. Pada ketika itu usianya sudah menjangkau 38 tahun, hampir 20 tahun lamanya ia belajar di Athene, akhirnya beliau ingin mengelilingi dunia untuk meluaskan pandangannya. Kawannya Xenokrates ikut bersama, kerana Aristotles merupakan seorang murid Plato yang paling setia, jadi ia mengira bahawa Aristotleslah yang akan menggantikan gurunya sebagai pemimpin Akedemika. Tetapi pimpinan itu jatuh ke tangan Speusippos, iaitu kemenakan atau saudara Plato sendiri, yang mana pengetahuan dan kecerdasannya amat kurang daripada Aristotles.
Aristotles dan Xenokrates telah merantau ke sebuah kota kecil di Pantai Asia Minor, iaitu Kota Atarneus yang diperintah oleh Hermeias bekas murid Plato di Akedemika. Hermeias mengundang mereka ke sana dan di sambut dengan gembira. Sebagai penghargaan kepada Aristotles, Hermeias telah menikahkan dia dengan anak saudara perempuannya yang bernama Pythias. Tetapi kedua-dua ahli filosofi itu tidak lama tinggal di Atarneus, hanya 3 tahun sahaja. Kota itu di rebut oleh tentera kerajaan Persia, Hermeias ditangkap dan dibawa ke ibu Kota Persia , di sana beliau telah dibunuh. Aristotles dan isterinya berjaya melarikan diri ke Daerah sekitarnya. Semasa beliau berada di daerah itu, beliau telah mendapat undangan dari Raja Mecadonia Philippos supaya datang ke ibu kotanya untuk mendidik anaknya Alexander yang berusia 13 tahun pada ketika itu.
 Beliau menerima undangan itu, kira-kira 7 tahun ia menjadi guru kepada Alexander. Setelah itu, ia kembali ke tempat asal di Stagiera. Beliau menetap ditempat kelahirannya itu buat sementara waktu, sambil menyiapkan buku-bukunya yang ditulis semasa di Akedemika lagi. Segala pengalaman dan pandangan daripada pengembaraannya sebelum ini digunakan untuk mengarang buku-bukunya itu. Tidak lama selepas Alexander dilantik menjadi raja Macedon, Aristotles kembali ke Athene, waktu itu usianya sudah melewati 50 tahun. Pemerintahan di sana sudah berubah, di mana Xenokrates sudah menggantikan Speusippos sebagai ketua pemerintah di Akedemika. Tetapi Aristotles tidak kembali ke Akedemika, berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang di pelajarinya selama ini, beliau telah mendirikan sebuah sekolah, iaitu sekolah yang bernama Lykeion bertempat di pinggir kota tidak jauh dari Candi Lykeios.
Aristotles mengajar di sekolah itu, cara ia mengajar murid-muridnya amat berbeza dan berlainan daripada Sockrates dan Plato. Beliau menggunakan kaedah memberi kuliah, yang mana Sockrates dan Plato menggunakan sistem dialog. Kaedah memberi kuliah ini diwarisi daripada gurunya, iaitu mengajar sambil berjalan-jalan. Lykeion telah menjadi pusat pembelajaran, pengajaran dan penyiasatan. Setiap pagi Aristotle dan murid-muridnya akan bangun awal pagi dan mereka berjalan di taman sambil membincangkan tentang pelajaran, terutamanya tentang kelebihan-kelebihan filosofi. Maka dengan itu kaedah berjalan-jalan ini digelar sebagai Peripatetics oleh falsafah Aristotles.
Terdapat dua bahagian pelajaran yang diberikan oleh Aristotles. Pertamanya, pelajaran yang diajar pada pagi hari lebih bersifat ilmiah dan dikhaskan kepada satu golongan kecil yang tujuannya benar-benar mahu menuntut ilmu. Manakala yang kedua pula, diajarnya pada waktu malam dan dikhususkan kepada umum. Selain daripada itu, beliau juga mengajar tentang cara berkomunikasi. Sesudah 12 tahun beliau mengajar di Athene, maka lagi bertambahlah pengalamannya. Selain mengajar beliau juga banyak menulis. Sehingga terbentuknya sebuah perpustakaan yang mengumpulkan berbagai-bagai manuskrip dan peta bumi. Menurut seorang saksi Strabo iaitu seorang usahawan Yunani-Romawi, katanya itulah perpustakaan pertama dalam sejarah manusia.
Isterinya, Pythias telah meninggal di Athene pada tahun yang tidak diketahui. Perkahwinannya yang pertama itu di kurniakan seorang anak perempuan. Maka Aristotles menikah lagi dengan Herpyllis yang melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Nikomakhos. Selama 12 tahun itu, beliau mendapat bantuan dan perlindungan daripada Alexander Agung. Beliau juga bersahabat baik dengan wakil pemerintah Macedonia di Athene yang bernama Antipatros. Tetapi setelah Alexander tewas dalam peperangan, maka timbullah gerakan anti-Macedon di Athene dengan maksud melepaskan Athene dari kerajaan Macedonia. Permusuhan orang-orang Macedonia tertuju juga kepada Aristotles, kerana dituduh durhaka. Oleh itu, ia meletakkan pimpinan Lykeion kepada tangan anak muridnya, Theophrastos. Beliau teringatkan kepada nasib Sockrates, jadi untuk menghindari dari nasib yang sama maka diambil keputusan untuk meninggalkan Athene.
Sebelum berangkat, ditulisnya surat kepada Antipatros bahawa dia akan pergi. Aristotles pergi ke Kalkis, iaitu suatu tempat yang terletak di Pulau Eubua. Di sana ia memiliki sebuah rumah yang di jaga baik oleh pekerja-pekerjanya. Setelah beliau berada di situ, ia hanya ingin beristirehat dengan tenang. Walaupun begitu, beliau tetap menulis buah-buah fikirannya. Tetapi malangnya belum sampai setahun beliau berada di situ, ia sudah jatuh sakit. Beliau menghidap penyakit perut yang menyebabkan ia maut pada tahun 322 s.M. Aristotles menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 63 tahun.

3.1       KARYA-KARYA ARISTOTLES

Aristotles dikenali sebagai beberapa tokoh yang telah mempelajari hampir kesemua bidang. Berkaitan bidang ilmu sains, beliau belajar pelbagai ilmu, antaranya termasuklah ilmu anatomi, astronomi, embriologi, geografi, geologi, meteorologi, fizik, dan zoologi. Manakala dalam bidang falsafah pula, Aristotles mempelajari dan menulis mengenai estetik, ekonomi, moral (ethics), kerajaan, metafizik, politik, psikologi, retorik, teologi, pendidikan, adat asing, penulisan dan sastera.   
3.1.1    Pembahagian karya-karya Aristotles
W.D. Ross, adalah seorang ahli filsafat Yunani berkebangsaan Inggris  membahagikan karya-karya Aristotles itu telah berkembang dalam tiga tahap, iaitu tahap yang pertama ketika dia masih belajar di Akedemika Plato, karya-karyanya itu boleh dikatakan terkenal juga dan diterbitkan oleh Aristotles sendiri. Manakala tahap yang kedua pula, dalam karya-karyanya, beliau mengumpulkan bahan-bahan yang dapat di gunakan dalam risalah-risalah ilmiah. Tahap terakhir iaitu tahap ketiga, mengenai risalah-risalah yang di karang Aristotles berkenaan dengan pengajarannya.
Tahap pertama: Diogenes Laertius menyebut bahawa terdapat 19 karya yang termasuk dalam tahap ini. Karya-karya ini sebahagian besar telah di tulis ketika Aristotles berada di Akedemika dan kebanyakannya berbentuk dialog. Hasil karya beliau itu telah di baca oleh ramai masyarakat di zaman purba, tetapi sekarang semuanya sudah hilang.
 Walau bagaimanapun, dari beberapa karya itu kita masih mempunyai serpihan-serpihannya (fragmen-fragmen), dan menurut saksi di zaman purba yang dibenarkan mengatakan bahawasanya semua karya ini dikarang dengan gaya bahasa yang menarik dan memikat hati. Contoh ini adalah salah satu dialog yang isinya cukup diketahui kerana fragmen-fragmen yang masih ada atau kesaksian pada pengarang-pengarang lain.
Tahap kedua: Menurut kesaksian di zaman purba, Aristotles mengarang banyak karya yang memuatkan dokumentasi ilmiah. Maka dapat diandaikan, bahawa karya-karya itu disusun oleh Aristotles sendiri dan sebahagian daripadanya telah disusun oleh murid-muridnya dibawah pimpinan Aristotles sendiri. Kebanyakan karya itu datang dari Aristotles semasa beliau mengajar di Lykeion, tetapi semua karya-karya itu sudah tidak ada lagi.
Hanya yang masih disimpan adalah karya yang biasanya ditunjukkan dengan nama Latin Historia animalium ( penyelidikan mengenai bintang-bintang ), karya ini disisipkan oleh Andronikos dari Rhados dalam edisi risalah-risalah Aristotles. Terdapat satu lagi karya lain yang bernama Athenaion politeia ( Tatanegara Athene ) yang dijumpai pada tahun 1890 dalam padang pasir di Mesir. Karya tersebut merupakan satu bahagian sahaja daripada karya-karya terbesarnya yang mengumpulkan undang-undang dasar dari 158 negara Yunani.
Tahap ketiga: Karya-karya ini dikarang bukan untuk diterbitkan. Mungkin risalah-risalah ini mengandungi catatan-cacatan yang dibuat oleh Aristotles untuk kuliah-kuliahnya. Sebahagian kecil risalah-risalah ini berasal dari cacatan murid-muridnya yang dibuat semasa waktu kuliah Aristotles. Mungkin juga risalah ini memuatkan ringkasan-ringkasan yang disusun Aristotles nenggunakan muridnya yang tidak sempat menghadiri kuliah beliau.
Berdasarkan kepada asal usul ini, dapat kita fahami sifat karya-karya itu. Bahasa yang digunakan bersifat padat, lugas dan sarat dengan pengistilahan sinis. Aristotles sering kali mengulangi apa yang sudah dikatakan dahulunya dan terjadi juga bahawa ucapannya tertentu  bertentangan  dengan ucapan di tempat lain. Semua teks karangan Aristotles yang masih disimpan sampai hari ini, termasuk golongan ketiga ini.
3.1.2    Metafizik Aristotles
Karya penulisan Aristotles terlalu banyak jika hendak dihuraikan kesemuanya, seperti mana yang telah di senaraikan sebelum ini. Maka dalam penulisan ini, hanya diambil beberapa contoh daripada karya-karya Aristotles itu. Metafizika merupakan karya beliau dalam bidang Falsafah, dan ianya membawa maksud hakikat, realiti, kewujudan dan dunia yang sebenarnya. Metafizika Aristotles berpusat pada persoalan “Barang” dan “Bentuk”.
            Bentuk ditafsirkan sebagai pengganti pengertian Idea Plato yang ditolaknya, oleh itu bentuk boleh memberikan kenyataan kepada benda. Maka dengan itu, tiap-tiap benda yang ada didunia lahir ini adalah barang yang berbentuk. Barang atau materi dalam pengertian Aristotles berlainan dari pendapat biasa, ia bermaksud materi yang tidak mempunyai bangun, substansi sahaja yang menjadi pokok kepada segalanya. Manakala, bentuk ialah bangunnya. Contohnya, Marmar bukanlah benda hanya barang sahaja, tetapi setelah mendapat bentuk, barang itu (marmar) boleh menjadi patung marmar dan meja marmar. Selain itu, manusia juga boleh dijadikan contoh, maka badan manusia adalah barang, hidup dan jiwanya merupakan bentuk.
            Barang adalah suatu yang mempunyai bentuk ini dan itu. Barang juga merupakan kemungkinan (potensia). Bentuk pula merupakan pelaksanaan dari kemungkinan itu, aktualita. Kesimpulannya, yang umum terlaksana dalam yang khusus, jadi adanya cuma terdapat di dalam benda-benda yang ada itu, dan yang khusus hanya ada, kerana yang umum terlaksana di dalamnya.
3.1.3    Falsafah Alam Aristotles
Penulisan Aristotle banyak mengenai masalah alam. Beliau menulis tentang langit, bintang, tentang pergerakan, haiwan dan sejarahnya, tentang tumbuh-tumbuhan dan jiwa. Pengetahuan beliau yang luas berdasarkan pengamatan dan pengalaman bukan sahaja mengagumkan orang pada zaman beliau bahkan mempengaruhi fikiran ilmu alam kira-kira 18 abad lamanya.
Menurut Aristotle, alam meliputi kesemuanya berhubung dengan kebendaan dan badan-badan yang bergerak dan diam. Perubahan atau gerakan dalam erti yang luas dapat dibahagikan dalam timmbul dan tenggelam. Manakala gerakan dalam erti terbatas pula adalah merupakan perubahan identity, perubahan kualiti dan perubahan tempat. Perubahan bergantung kepada tempat dan waktu.
Menurut beliau lagi, alam itu ada untuk selama-lamanya kerana bagi beliau masa itu tidak terhad. Bahagian alam paling sempurna yang dijadikan tuhan penggerak pertama ialah langit, berbentuk bulat, peredaran bintang, matahari dan planet dimana menurut beliau setiap kejadian di alam ini, ada jiwa yang mengemudikannya.
Seluruh alam adalah satu organisasi yang besar, disusun oleh tuhan penggerak pertama menjadi penyatuan menurut tujuan tertentu. Dari sini dapat dilihat bahawa pengaruh didikan Aristotles ketika di peringkat kanak-kanak dan zaman muda beliau. Dunia kita tersusun mengikut lapisan, dimana yang paling rendah hidup mereka mengabdi dan memberikan jasa kepada  yang paling atas. Tanaman memberikan jasa kepada binatang, binatang kepada manusia, kaum perempuan kepada kaum lelaki dan anggota badan kepada jiwa.
Dalam sistem yang diperkenalkan oleh Aristotles, ilmu jiwa dan psikilogi adalah sebahagian daripada biologi. Ia mengemukakan tiga jenis jiwa yang sifat kesempurnaanya sangat teratur. Pertama, adalah jiwa tanaman dimana tujuannya adalah menghasilkan makanan dan menjalankan  proses fotosintesis. Yang keduanya adalah jiwa haiwan dimana haiwan mempunyai perasaan dan keinginan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ketiga, jiwa manusia yang selain mempunyai keiginan dan perasaan, manusia juga mempunyai akal untuk berfikir.
Namun begitu, suatu kemunduran dalam pengetahuan Aristotle terhadap Democritus dan Plato ialah pusat kemahuan manusia itu terletak pada hati bukan pada otak. Menutut pendapatnya yang berpengaruh dalam ilmu psikologi ialah bentuk jiwa yang sesuai baginya ialah roh dan fikiran.  Roh tersebut terbahagi kepada dua iaitu roh yang bekerja dan roh yang menerima. Roh yang bekerja memperoleh bentuknya yang sempurna. Selain daripada itu, beliau turut memperkenalkan roh praktis dimana roh tersebut mengawal kemahuan dan perbuatan manusia.

4.1       FALSAFAH ARISTOTLES

4.1.1    Keseronokan
Konsep tersebut  adalah sangat penting kepada manusia kerana ia melibatkan persoalan motivasi dan nilai. Pada zaman beliau, muncul beberapa pendapat yang mengatakan bahawa keseronokan itu sebagai sensasi, proses ataupun perasaan.
Keseronokan bukan sensasi: Aristotle menolak pandangan yang mengatakan keseronokan itu sensasi dengan mengatakan bahawa pertama, adalah mustahil bagi mana-mana individu yang mencari keseronokan di badan. Kedua, perasaan pancaindera adalah bersifat relatif.
Keseronokan bukan sesuatu proses: Keseronokan adalah bukan sesuatu proses kerana jika ia dianggap proses, ia mesti mempunyai tahap permulaan dan pengakhiran. Proses adalah sesuatu yang berada kearah kesempuranaan manakala keseronokan pula sesuatu yang sudah cukup sempurna.
Keseronakan bukan perasaan: Keseronakan tidak dapat dikawal manakala perasaan boleh dikawal. Menurut Aristotles, pada mulanya keseronokan adalah baik. Namun begitu, jika seseorang menggunakan keseronokan tersebut secara melampau, maka individu tersebut akan menjadi rosak.
Aristotles mengenalpasti dua faktor manusia lebih menikmati keseronokan badani berbanding roh. Pertama kerana ia boleh menghilangkan kesakitan, yang kedua kerana manusia tersebut boleh menikmati bentuk keseronokan lain disebabkan usia muda. Menurut beliau lagi, keseronokan adalah aktiviti yang sempurna kerana ia menemani ataupun menyempurnakan sesuatu aktiviti yang dijalankan. Keseronokan akan diperolehi pada penghujung aktiviti yang dilakukan.
4.1.2    Akrasia
Akrasia merujuk kepada seseorang yang melakukan perbuatan yang salah dari segi undang-undang atau perbuatan moral sedangkan mengetahui perbuatan yang dilakukan itu adalah salah. Socrates menyatakan bahawa manusia tidak akan melakukan kesalahan jika mempunyai ilmu.
Pendapat tersebut sukar diterima Aristotles berdasarkan sebab-sebabnya, pertama secara jelas teori tersebut menunjukkan bahawa “kepercayaan” terletak dalam minda seseorang itu. Kepercayaan yang dianggap sebagai bertaraf ilmu oleh Socrates. Kedua, Aristotles menyatakan pada umumnya menyalahkan perbuatan yang dilakukan oleh mereka yang melakukan akrasia.Sekiranya kesalahan yang bersifat akrasia semata-mata disebabkan oleh kepercayaan seperti yang didakwa Socrates, maka mereka sewajarnya tidak dipersalahkan.
  Aristotles menyatakan bahawa secara umumnya, tindakan akrasia adalah berhubung dengan perkara yang menyentuh keseronokan dan kesakitan seperti makan, minum dan seks. Sebahagian manusia bertindak menentang prinsip luhur dan berlawanan dengan keputusan yang baik kerana tidak mampu menolong dirinya setelah dikawal oleh nafsu.
4.1.3    Jasad dan roh
Roh lebih dikenali sebagai psuche oleh Aristotles. Pada peringkat awal perkembangan zaman pra-Socrates, hakikat psuche telah ditafsirkan secara materialistic oleh ahli falsafah dengan menganggap ia sebahagian daripada material seperti unsur api, udara atau atom.
Pendapat ini kemudiannya ditentang oleh Plato kerana yang mempercayai wujudnya alam idea dengan menyatakan bahawa alam roh terpisah dengan alam jirim. Dalam konteks falsafah moden, pendapat Plato diterima oleh Descrates yang menyatakan bahawa roh adalah sesuatu benda bersifat spiritual yang wujud secara terpisah iaitu tidak wujud sebarang roh dan jasad.
Walaupun pendapat tersebut diterima oleh Plato, namun ia dikritik oleh Aristotles melalui pengenalan teori hylomorphism, iaitu teori yang melihat setiap objek dibina oleh jirim dan bentuk. Roh dan jasad bersatu dalam satu objek sebagaimana bersatunya bentuk dan jirim dalam sesuatu objek.
Aristotles menegaskan bahawa setiap benda hidup termasuk tumbuhan, binatang dan manusia mempunyai roh. Ia memberi keupayaan pemakanan (termasuk membesar dan membiak), persepsi, pemikiran dan pergerakan bebas.
Menurut aristotles, manusia dan haiwan banyak berkongsi kesanggupan, tetapi ia berada pada hierarki berlainan yang mana roh manusia mempunyai kesanggupan yang tinggi kerana berada pada hierarki paling tinggi. 

   







BIBLIOGRAFI
Ahmad Sunawari Bin Long. 2006. Sejarah Falsafah. Penerbit UKM.
Bertrand Russell.  1961. A History Of  Western Philosophy. London George Allen             & Unwin Ltd. Ruskin House Museum Street.
Dr. K. Bertens. 1981. Sejarah Filsafat Yunani Dari Thales Ke Aristotle.Yayasan                Kanisius Yogyakarta. Jl. P. Senopati 24.
Dr. Oemar Amin Hoesin. 1959. Filsafat Islam. Bulan Bintang Jakarta. Kramat                    Kwitang.
Garrett Thomson. Marshall Missner. On Aristotles. Wodsworth Thomson Learning.
Mohammad Hatta. 1980. Alam Pemikir Yunani. Tintamas Jakarta Indonesia. Jalan             Kramat Jaya 60 Jakarta Pusat.
Ustaz Abdul Latif Muda. 2009. Pengantar Ilmu Mantik. Pustaka Alam Sdn. Bhd.
http://en.wikipedia.org/wiki/aristotles.  Aristotles, wikipedia, the free encyclopedia.
http://id.wikipedia. org/wiki/aristotles. Aristotles ,wikipedia,the free encyclopedia.
http://ms.wikipedia.org/wiki/aristotles. Aristotles,wikipedia,the free encyclopedia.